"Bekam Sunnah Perubatan Wahyu"

Wednesday, 29 January 2014

On 19:52 by Azizi Abd Hadi   No comments
HIPERTENSI ataupun darah tinggi merupakan salah satu penyakit utama yang sering dihidapi penduduk negara ini. Walaupun bahaya penyakit ini banyak didedahkan, begitu juga cara-cara untuk mencegahnya namun bilangan penghidapnya tidak menampakkan tanda-tanda penurunan.
Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit ini.
Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman menegaskan, punca tekanan darah tinggi membabitkan 95 peratus pesakit masih tidak diketahui. 

“Malah, ada individu yang tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sedikit pun menunjukkan simptom,” katanya.
Ujarnya lagi, penyakit ini tidak akan hilang. Dalam kebanyakan kes, ia merupakan penyakit seumur hidup.

Akibatnya, penghidap darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.

Secara amnya, darah tinggi merujuk pada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.

Pesakit yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg dalam keadaan rehat berpotensi positif mendapat penyakit tersebut.

“Darah tinggi memang tiada sebarang gejala. Namun, jika tidak dibendung daripada awal, seseorang boleh terkena serangan atau kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang,” katanya.

Satu daripada dua

Mengikut satu kajian pada tahun 2006, satu daripada tiga rakyat negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap darah tinggi.

“Saya berpendapat angka ini telah meningkat dan melebihi 50 peratus rakyat Malaysia menghidapnya.

“Dahulu penghidapnya berusia 30 tahun ke atas, kini ia tidak mengira peringkat umur.
“Mereka yang berada di bawah umur tersebut juga berisiko. Malah kanak-kanak turut terdedah kepada penyakit ini kerana faktor pemakanan dan obesiti,” ujarnya.
Tambah Azhari, ada pesakit hanya mengetahui mereka mempunyai darah tinggi setelah mereka diserang strok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, risiko komplikasi darah tinggi boleh dielakkan jika seseorang berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.

“Kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi,” katanya.

Berbicara mengenai rawatan darah tinggi melalui medium perubatan alternatif, pengamal perubatan alternatif, Nik Omar Nik Daud berkata, penyakit itu memerlukan rawatan secara holistik selain mengurangkan pengambilan ubat-ubatan yang bersumberkan dadah. 

Akupuntur

Tambah beliau, kebiasaannya pesakit darah tinggi memerlukan masa selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Namun, mereka juga mesti mengambil makanan yang sihat dan banyak bersenam,” katanya.

Ujar Nik Omar lagi, rawatan akupuntur dan bekam turut membantu memulihkan tekanan darah tinggi.

“Rawatan akupuntur memberi tumpuan pada bahagian kaki dan tangan yang merupakan kawasan berkaitan saluran darah.
“Ini untuk memastikan pengaliran darah sempurna dan stabil selain mengaktifkan sel-sel darah yang terjejas,” katanya.
Bagi rawatan bekam pula, Nik Omar berpendapat amalan itu mempunyai manfaat yang cukup banyak kerana dapat mengeluarkan toksik daripada darah.
  “Ia juga dapat membuang darah kotor dalam badan. Jika diamalkan mengikut nasihat pengamal perubatan tradisional terlatih, tekanan darah tinggi boleh menjadi normal semula.

Bagi pakar pemakanan, Dr. Fatimah Arshad menjelaskan, penghidap darah tinggi perlu mengurangkan pengambilan garam dalam makanan.

“Kurangkan makanan berlemak dan banyak makan sayur-sayuran serta buah-buahan segar. Jangan makan buah betik yang dibuat rojak. Kicap mengandungi garam yang tinggi.

“Kurangkan penggunaan belacan untuk masakan, begitu juga ikan dan telur masin. Makanan segera pula harus dielakkan,” katanya.

Sumber: Kosmo



Tuesday, 28 January 2014

On 17:22 by Azizi Abd Hadi   No comments

SEJARAH rawatan berbekam yang dimulakan sejak ribuan tahun dahulu sering dikaitkan sebagai kaedah terbaik untuk mengeluarkan darah kotor yang menjadi punca pelbagai penyakit.
Hari ini, berbekam semakin popular kerana manfaatnya didakwa berkesan membantu mengurangkan bisa penyakit gout, migrain dan sakit belakang.
Terbaru, kaedah rawatan Islam ini dikatakan berupaya menangani gangguan sihir.
Menurut perawat bekam di Pusat Terapi Syifa, Ahmad Husin, 36, bekam sihir boleh dilakukan di semua titik yang dipanggil Thibbun Nabawi. Selain itu, bekam juga boleh dilakukan di titik sendi badan.
"Fungsi berbekam jenis ini ialah untuk mengeluarkan endapan sihir atau darah kotor akibat gangguan jin yang bergerak melalui saluran darah manusia.
"Untuk mengatasi gangguan sihir, bahagian yang wajib dibekam ialah kepala dan tengkuk. Bahagian tubuh yang lain dibekam mengikut keperluan, bergantung pada jenis sihir.
"Berdasarkan pengalaman saya, pesakit yang menghidap sihir kerana urusan kerja, dadanya akan sakit.
"Mangsa sihir rumah tangga pula sakit di pinggang manakala mangsa akibat sihir pelaris, mereka terpaksa berdepan dengan kesakitan yang teruk di kaki pada waktu tertentu," ujar Ahmad.
Selama dua tahun mempraktikkan bekam sihir, Ahmad berkata, kaedah rawatan yang disertai amalan bacaan ayat-ayat rukyah itu dapat mengurangkan pengaruh gangguan sihir terhadap pesakit.
"Sebelum memulakan rawatan, perawat perlu membaca ayat Kursi disusuli dengan surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas bagi mengelak aura sihir daripada badan pesakit berpindah ke tubuh perawat.
Sihir berjangkit
"Kebanyakan perawat bekam sihir di pusat ini pernah menerima tempias ilmu sihir daripada pesakit sehingga ada yang serik untuk menjadi perawat lagi," katanya.
Ditanya tentang bentuk gangguan yang diterima, Ahmad memberitahu, ada perawat yang mengalami bisa-bisa badan, demam, hilang semangat dan mendapat mimpi yang kurang baik.
Berpeluang melihat proses rawatan bekam sihir ke atas seorang pesakit, dapat disimpulkan bahawa teknik berbekam sihir dan bekam darah tiada bezanya melainkan pesakit disarankan mengamalkan ayat-ayat rukyah.
"Kaedah bekamnya sama sahaja. Dengan menggunakan sarung tangan getah, perawat akan mengenal pasti urat yang betul sebelum menekapnya dengan cawan bekam yang telah disteril bagi menjamin kebersihan dan pembasminan bakteria serta virus secara maksimum.
"Setelah itu, barulah kawasan tersebut dicucuk dengan jarum pakai buang yang dikhaskan untuk berbekam.
"Proses sedutan darah biasanya dilakukan sebanyak dua hingga tiga kali bagi memaksimumkan pengeluaran darah kotor," ujar Ahmad.
Darah berwarna merah gelap yang berketul-ketul seperti jeli itu dikatakan mengandungi toksik, asid urik, kolesterol, angin, sel darah merah yang rosak dan juga unsur gangguan jin.
Pada akhir rawatan bekam, darah kotor akan dibersihkan dan kawasan bekam disapu dengan kapas beralkohol untuk menyahkan kuman.
"Selepas berbekam, pesakit akan terus terasa segar dan bertenaga kerana badan jadi ringan akibat pembuangan toksik daripada badan.
"Ia juga boleh mengurangkan 50 hingga 60 peratus gangguan sihir dalam badan kerana jin hanya akan bergerak mengikut aliran darah yang kotor.
"Jika darah yang kotor dibuang, Insya-Allah gangguan sihir dapat dikurangkan malah dihapuskan secara berperingkat," ujar Ahmad.
Ditanya mengenai pantang larang sebelum menjalani rawatan bekam sihir, dia menjawab, pesakit dianjurkan berpuasa sehari sebelum temu janji bekam. Jika tidak berpuasa, pastikan perut dikosongkan dua jam sebelum berbekam.
Selepas berbekam pula, pesakit nasihatkan tidak makan dan tidur selama dua jam.
"Rawatan bekam adalah sunah Rasulullah untuk mengubati 93 jenis penyakit klinikal selain gangguan jin.
"Bagi yang sihat tubuh, saya mengesyorkan mereka menerima rawatan bekam sunah ini sebulan sekali manakala bagi yang berpenyakit sama ada klinikal mahupun gangguan jin, rawatan perlu disusuli seminggu sekali sehingga sembuh," jelasnya.

On 16:53 by Azizi Abd Hadi   No comments
MUKJIZAT BEKAM 

Orang-orang beriman baik lelaki atau perempuan pasti sangat rindu ingin mendengar sunnah Rasulullah SAW khususnya bekam. Ramai pesakit yang pernah menjalani terapi bekam ini menyaksikan dan merasai sendiri mukjizat kesembuhan dalam mengatasi penyakit-penyakit yang sukar di sembuhkan oleh para doktor. Sayangnya masih sedikit yang mengenali kaedah pengubatan ini. Bahkan dari kalangan terpelajar pun sedikit sekali yang pernah mendengarnya apalagi dari kalangan awam.

Setiap muslim dan muslimah tahu bahawa hadith-hadith Rasulullah SAW tidak pernah berubah dan berganti, kerana ia wahyu dari Allah SWT dan agama ini telah sempurna dan segala puji hanya bagi Allah SWT. Maka hadith-hadith yang berkaitan kaedah pengubatan dengan bekam, keutamaannya, hari-hari perlaksanaannya dan sebagainya adalah bersifat tetap tidak berubah. Sungguhpun begitu saya memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan kepada kita ilmu, pandangan yang mendalam dan keikhlasan dalam memberikan manfaat kepada seluruh umat Islam tanpa terkecuali,sesungguhnya Dia yang berkuasa ke atas sesuatu. 

PERINTAH BERBEKAM 

Perawatan ini tidak perlu diragukan lagi kerana berdasarkan hadis-hadis yang banyak menerangkan kebaikan bagi orang yang mengamalkan bekam ini. Nabi Muhammad SAW merupakan insan pertama yang dibekam para Malaikat dengan perintah Allah SWT sebelum Isra dan Mi'raj. Penjelasan dalam hadith 

Riwayat Ibnu Majah menerusi Katjir bin Salim: "Selama Aku berjalan pada malam Isra Mi'raj bersama para Malaikat,mereka selalu berkata "Wahai Muhammad,suruhlah umatmu melakukan bekam". Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa berbekam pasti mendapat rahmat dari Allah SWT". 

KENAPA PERLU BERBEKAM??? 

Bekam merupakan teknik perubatan Sunnah Rasulullah SAW yang telah lama diamalkan oleh manusia sejak zaman dahulu kala,dan kini di modenkan mengikut kaedah-kaedah ilmiah dan kaedah efektif tanpa kesan sampingan. Teknik perubatan bekam adalah suatu proses membuang darah kotor dan toksid melalui permukaan kulit. Toksin/toksid adalah endapan racun/zat kimia yang tidak dapat diuraikan oleh tubuh kita. Toksin ini berasal daripada pencemaran udara,mahupun dari makanan yang banyak mengandungi zat pewarna, zat pengembang, penyedap rasa, pemanis ,racun dari sayuran dan sebagainya. 


Dan BEKAM adalah salah satu proses 'detoksifikasi' yang sangat berkesan dan mujarab serta tiada kesan sampingan. Berbekam juga sangat bermanfaat untuk mengubati orang yang keracunan makanan, bisa dan sejenisnya.
On 00:35 by Azizi Abd Hadi   No comments

Usia sel darah merah manusia hanya 120 hari sahaja, selepas 120 hari sel darah merah tersebut mati dan terkumpul dibawah eperdemis kulit, hanya sistem bekam sahaja yang mampu mengeluarkan darah dibawah eperdemis kulit tersebut, dan jika ia tidak dibuang dan dibiarkan berkumpul akan melemahkan sistem imun kelak.


On 00:20 by Azizi Abd Hadi   No comments

- Apabila berlaku torehan/tusukan jarum bekam pada kulit, maka banyaklah hormon generasi sel tersebar,fungsi hormon tersebut adalah untuk memperbaiki/merawat segala kekurangan pada organ/bahagian yang dibekam tadi. Dalam masa yang sama banyak juga sel/tisu baru dihasilkan dan berlaku penambahbaikan tisu pada kawasan yang dibekam tadi. 

- Setiap torehan/tusukan jarum bekam pada kulit juga sekaligus menggalakkan penghasilan SEL T, iaitu unsur utama sistem imun yang melawan sebarang penyakit dalam tubuh badan. Lagi banyak torehan/tusukan jarum bekam yang berlaku pada anggota badan, makin lagi banyaklah SEL T dihasilkan secara tak langsung sistem imun kita berada pada tahap yang maksimum setiap masa, dan individu tersebut agak sukar diserang sebarang penyakit. 

- Pengeluaran darah kotor yang terdiri angin, patogen, sel darah merah yang mati, uric acid, toksin , toksid, gula dan lemak berlebihan dalam aliran darah. Pengeluaran darah kotor yang disebutkan tadi akan melancarkan sistem aliran darah dan menjamin hanya darah yang bersih dan berkualiti akan dipam jantung keseluruh anggota badan.

Sunday, 26 January 2014

On 18:49 by Azizi Abd Hadi   No comments
Dalam perubatan Sunnah, terdapat 5 kaedah yang perlu ada pada setiap muslim iaitu:-

1. IMAN

Setiap muslim perlu beriman dan percaya pada kuasa Allah SWT yang memberikan sakit dan menyembuhkannya. Perlu yakin dengan ubat yang Allah SWT kurniakan kepada hambanya seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran iaitu madu dan habatus sauda’. Dengan madu dan habatus sauda’ dapat mengubati semua penyakit kronik kecuali mati. Sesungguhnya mati itu pasti bagi semua makhluk yang hidup di dunia ini.

2. AMAL

Beramal dengan sunnah Nabi Muhammad SAW di samping mendapat pahala mengamalkannya dapat juga kebaikan dan kelebihan dengan mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW. Contohnya seperti:-
a. Bersugi menggunakan kayu miswak atau sugi fadhilatnya dapat menghindarkan daripada sakit gigi berlubang serta gigi tidak akan reput.
b. Menyimpan janggut bagi suami atau ketua keluarga fadhilatnya dapat mengubati keracunan makanan dengan menghisap hujung janggutnya.
c. Makan secara berjemaah bersama keluarga dengan bertalam dapat mengeratkan hubungan sesama keluarga serta mengelakkan daripada menghadapi masalah rumahtangga.
d. Menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid terutamanya solat fardhu Suboh. Barangsiapa menunaikan solat fardhu Suboh secara berjemaah maka Allah SWT akan selesaikan segala urusannya pada hari tersebut.

3. RUKYAH

Beramal dengan ayat-ayat al-Quran pada setiap waktu memohon perlindungan Allah SWT. Contohnya seperti:-
a. Beramal dengan ayat Qursi tiga kali sebelum tidur Allah SWT akan menjaga dirinya, ahli keluarganya, harta bendanya dan seluruhnya kampungnya daripada bala bencana dan kejahatan makhluk di dunia.
b. Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat seorang sahabat Rasulullah SAW yang dapat mengubati penyakit seorang sahabat lain yang sakit dengan hanya membaca surah al-Fatihah sahaja kerana beliau yakin dengan surah al-Fatihah yang dibacanya itu.
c. Berzikir "Laisalaha mindunillahi kaasyifah" ketika memasak supaya makanan yang dimasak mendapat keberkatan.

4. MAKANAN-MAKANAN ALAMI

Makanan-makanan sunnah seperti yang dinyatakan dalam al-Quran seperti madu, habatus sauda’, cuka buah, minyak zaitun, kurma dan lain-lain adalah makanan yang mempunyai banyak khasiat dan fadhilatnya. Contohnya seperti madu dan habatus sauda’ dapat mengubati penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan penyakit kronik yang lain. Digalakkan mencampurkan cuka buah ke dalam makanan kerana ia bertindak sebagai penstabil pada makanan tersebut.

5. BEKAM

Berbekam adalah amalan sunnah Rasulullah SAW yang diamalkan baginda bagi menjaga kesihatannya. Bekam juga telah dianjurkan oleh malaikat Jibril ketika peristiwa Israk dan Mikraj dimana malaikat Jibril berpesan beberapa kali kepada nabi Muhammad SAW supaya menyuruh umatnya berbekam.

KESIMPULAN

Demikianlah beberapa amalan sunnah Rasulullah SAW yang mempunyai banyak kelebihan dan fadhilat dalam perubatan Islam. Yakinlah bahawa setiap amalan sunnah memberikan fadhilat bukan sahaja di dunia malahan memberikan syafaat pada hari akhirat kelak. Insya Allah.

Wallahua’lam.
On 18:47 by Azizi Abd Hadi   No comments
Sering individu yang pertama kali datang untuk berbekam bertanya tentang darah yang dikeluarkan semasa berbekam. Ada yang gelisah apabila melihat banyak darah yang keluar didalam cup dan ini menjadikan mereka panik. Mereka mengaitkan gejala yang timbul selepas berbekam seperti pening dan mual kerana kehilangan banyak darah. Ada juga yang bertanya apa perbezaan berbekam dan menderma darah?

Di bawah ini ada serba sedikit penerangan berkenaan perbezaan derma darah dan bekam darah :

Sebenarnya berbekam hanya membuang darah kotor yang terkumpul dibawah lapisan kulit, darah ini adalah darah yang perlu dibuang kerana ianya tidak diperlukan selepas proses perkumuhan. Percayalah, jika bahagian tersebut tidak mempunyai darah kotor hanya sedikit sahaja darah yang keluar.

Bagi mereka yang mengalami pening-pening dan mual pada kebiasaanya berlaku kepada mereka yang mempunyai daya tahan tubuh yang rendah ataupun kurang meminum air. Tetapi kebanyakkan yang berlaku adalah faktor psikologi pesakit.

Perbezaan Bekam Darah dan Derma Darah:

1. Berbekam mengeluarkan darah dari kapilari manakala derma darah mengambil darah dari Arteri.
2. Berbekam mengeluarkan toksid dan kotoran sahaja manakala menderma darah mengeluarkan semua kandungan bendalir.
3. Berbekam tidak mengeluarkan sel darah putih, menderma darah mengeluarkan sel darah putih dan merah.
4. Dengan berbekam zat besi yang berlebihan akan dikeluarkan, dengan menderma darah kesemua mineral tubuh turut dikeluarkan.
On 18:44 by Azizi Abd Hadi   No comments
PERNAHKAH anda berdepan situasi jantung tiba-tiba berdegup kencang, berpeluh, dada merasa seperti dihimpit, pening, loya, hendak pitam, sukar bernafas dan letih tidak semena-mena. Jika ini terjadi anda mungkin mengalami masalah Fribilasi Atrial (Atrial Fribillation) atau keadaan di mana jantung berdegup secara tidak sekata iaitu terlalu pantas atau terlalu perlahan.

Apa yang menakutkan, tiada tanda-tanda jelas yang boleh mengesan awal masalah Aritmia atau rentak jantung tidak sekata ini. Malah orang yang mengalaminya punya lima kali ganda kemungkinan diserang angin ahmar berbanding mereka yang tidak mengalaminya. Angin ahmar atau istilahnya serangan otak, yang dikaitkan dengan masalah FA adalah lebih serius dan dikaitkan dengan lebih banyak kehilangan upaya diri berbanding angin ahmar yang bukan disebabkan FA.

Menurut Pakar Runding Kardiologi dan Presiden Majlis Stroke Malaysia, Dr Razali Omar FA berlaku apabila isyarat elektrik gagal diterima menyebabkan ruang atas jantung (Atria) berdenyut pantas dan tidak sekata. Ini menyebabkan darah memenuhi ruang ini. Memandangkan degup yang tidak sekata tadi ia gagal mengepam semua darah ke bahagian bawah jantung (Ventrikel), menyebabkan jantung gagal berdegup dengan efektif.

“Orang yang mengalami FA, punya lima kali ganda lebih mungkin menghidap angin ahmar berbanding mereka tanpa FA,” katanya ketika pembentangan kertas kerja mengenai Angin Ahmar yang dikaitkan Fribilasi Atrial sempena kempen mencegah 1 Misi 1 Juta - Mendalami Punca Strok.

Mengikut kajian, 15 juta kalangan dewasa Amerika Syarikat menderita serangan angin ahmar setiap tahun, 5 juta mati akibatnya manakala 5 juta lagi hilang upaya diri secara kekal. Keadaan ini bukan saja memberikan kesan buruk kepada keadaan kewangan negara tetapi juga membabitkan hal penjagaan.

Menurut Pakar Runding Neurologi dan Presiden Majlis Neurosains Malaysia, Dr Hamidon Basri, kajian terbaru juga menunjukkan sejumlah 5.7 juta kes angin ahmar berlaku di negara membangun seperti Malaysia disebabkan meningkatnya beban akibat kerancakan perkembangan ekonomi dan transisi epidimiologi.

“Di Malaysia, 10,000 kes baru dikesan setiap tahun di mana 50 peratus daripadanya memerlukan penjagaan sepenuh masa akibat hilang upaya diri kekal,” katanya pada majlis anjuran bersama Boehringer Ingelheim, Majlis Strok Malaysia dan Majlis Neurosains Malaysia baru-baru ini.

Jenis angin ahmar terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Iskemia dan pendarahan. Iskemia biasanya diakibatkan oleh bekuan darah yang melekat pada salur darah (trombosis), atau oleh bekuan darah yang bebas (embolisme). Pendarahan pula boleh berbentuk pendarahan dalam otak atau di bawah membran tengah antara tiga membran di dalam otak. Hampir 80 peratus daripada semua angin ahmar diakibatkan oleh Iskemia.

Beza usia bagi mereka yang mengalami serangan otak di rantau Asia dengan bangsa kulit putih juga mengejutkan iaitu mengikut kajian, orang Asia mengalami masalah ini 10 tahun lebih awal berbanding orang kulit putih.

“Keadaan ini amat membimbangkan, ketika ia melanda populasi kulit putih pada usia lanjut, sebaliknya di Asia ia dialami peringkat umur yang masih muda dan produktif serta punya tanggungan keluarga,” katanya menambah satu lagi faktor meningkatnya jumlah angin ahmar akibat tabiat melengah-lengahkan rawatan kerana serangan tidak serius dan lebih selesa berjumpa bomoh mahupun berubat sendiri.

Bila serangan lebih serius berlaku, semuanya sudah terlambat kerana pesakit hanya punya masa tiga hingga empat jam untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Selain itu faktor tidak tahu tanda awal, tinggal sendirian, jauh dari hospital, kesesakan lalu lintas dan hospital tanpa kemudahan yang lengkap menjadi antara penghalang.

75 peratus pesakit datang lewat ke hospital, 65 peratus tidak tahu mengenai tanda awal, 78 peratus bergantung pada keluarga seperti tunggu anak balik, dapatkan pendapat lain dan sebagainya. Angin ahmar mengambil masa yang lama untuk menyerang untuk itu, pencegahan harus bermula dari peringkat awal seperti melakukan aktiviti fizikal, selain mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Info: Kenali angin ahmar dengan F.A.S.T

• Face - cuba senyum, jika sebelah muka seakan bengkok atau jatuh individu ini mungkin mengalami angin ahmar
• Arms - angkat kedua belah tangan, jika ada kesukaran dengan salah satu, ia mungkin satu petanda.
• Speech - cuba bercakap. Jika sebutannya tidak jelas atau tidak boleh bercakap, ia juga satu tanda
• Time - sekiranya mana-mana satu simptom ini muncul, hubungi 911 segera bagi memastikan pesakit tiba di hospital dengan pantas.

Cegah Angin Ahmar dengan:

• Kawal kencing manis
• Kawal tekanan darah
• Kawal tahap kolesterol
• Berhenti merokok
• Bersenam.

Sumber: Berita Harian
On 18:42 by Azizi Abd Hadi   No comments
Assalammualaikum...

Selamat datang saya ucapkan kepada anda semua ke Blog Al-Hijamah Melaka.

Tujuan Blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu tentang Al-Hijamah atau dalam bahasa Melayu ialah BEKAM yang mana ianya adalah satu peninggalan Rasulullah SAW yang semakin dilupakan oleh masyarakat kita.

Semoga dengan perkongsian ilmu tentang BEKAM ini dapat memberi kesedaran dan mengamalkannya kepada masyarakat kita yang mana ianya memberi 1001 hikmah dalam menyembuhkan pelbagai penyakit dengan izinNYA...AMin..

Admin Al-Hijamah Melaka:

Azizi Hadi